Sunday, August 7, 2011

Kah! Kah! Kah!...“Kami bangsa pilihan Tuhan!”


Oleh: Muhd Ridhwan Abdul Jalil @ Erwanz

Mat, aku tahu bangsa kamu, bangsa Melayu sakit hati dengan aku sebab bangsa aku attack saudara engkau di Palestin! Mat, aku juga tahu bangsa engkau, orang Melayu memang bencikan kami sejak azali macam benci anjing dan babi! Kami tahu bangsa engkau ada yang bijak pandai macam Tun Dr. Mahathir. Sebab itulah orang macam Dr. Mahathir saja dapat fikir macam mana nak tembusi sekatan kami di Gaza.
               Tapi, Malaysia cuma ada seorang Dr. Mahathir. Itu belum cukup. Nanti kamu lihat Mat, berapa ramai bijak pandai kami yang ada. Kamu jangan sesuka hati nak maki hamun aku. Mat, Aku ni bangsa terpilih, Mat.
                Kau kena tahu Mat, bukan semua orang Yahudi bersetuju dengan tindakan Zionis penganut Yahudi  berfahaman sekular. Aku dan kaum keluarga aku penganut Yahudi Ortodoks, semua penganut Yahudi yang sealiran dengan aku tak suka dengan golongan sekular.
                Engkau tahu tak Mat, antara agama engkau Islam dan agama aku tak banyak bezanya. Ajaran agama Yahudi dibawa oleh Nabi Ibrahim yang merupakan nabi engkau juga.
                Aku mempercayai Tuhan yang Esa yang aku panggil Yahweh, begitu juga agama engkau yang mempercayai Tuhan Yang Satu yang disebut Allah.
                Ensiklopedia aku adalah Taurat sedangkan kamu al-Quran. Kitab kita cuma satu Mat, satu sahaja. Tiada dua atau tiga. Kamu tahu sebab apa aku kata bangsa kami adalah bangsa yang terpilih?
                Sebabnya kami semua percaya bahawa Yahweh telah membuat perjanjian dengan Nabi Ibrahim, bahawa Yahweh akan member berkat sekiranya keturunan Ibrahim mentaati Yahweh.
                Pegangan kami ialah wujudnya Yahweh Yang Esa, Pencipta dunia yang menyelamatkan Bani Israel dari penindasan di Mesir, menurunkan undang-undang Yahweh kepada kami dan memilih kami sebagai cahaya kepada manusia sejagat.
                Kepercayaan kami dikuatkan lagi apabila agama kami diteruskan pengembangannya oleh Nabi Ishak dan Nabi Yaakub dan akhirnya Nabi Musa yang sebangsa dengan kami.
                Ketika Musa menjadi ketua kami, masa itulah Yahweh menurunkan kitab Taurat di Bukit Tursina sebagai panduan dan rujukan untuk kami.
                Kamu semua Melayu, Mat, kaum aku Bani Israel. Kamu tahu apa maksud Bani Israel? Bani Israel berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ‘orang yang berjalan di malam hari’.
                Gelaran ini diberikan kerana Nabi Yaakub gemar memulakan pengembaraannya pada malam hari. Jadi salasilah Bani Israel berasal dari keturunan Nabi Yaakub.
                Kalau kaum kamu ada adat, begitu juga dengan kami, Mat. Kehidupan kami banyak bergantung dengan kitab Taurat, nak makan pun ikut Taurat.
                Taurat melarang campuran susu dengan daging, makan daging babi juga dilarang dalam agama Yahudi. Daging juga perlu disembelih dengan elok oleh pihak Rabbi, daging ini yang kami sebut Kosher.
                Budak-budak lelaki juga disunat biasanya sewaktu bayi lagi, ini selaras dengan perjanjian Nabi Ibrahim dengan Yahweh. Apabila seorang budak lelaki sudah cukup umur dia akan diraikan dalam satu upacara dipanggil Bar Mitzvah kerana dia telah menjadi sebahagian ahli masyarakat Yahudi.
                Selepas kematian, kami akan berkabung selama seminggu dan akan membacakan Kaddish. Macam kamu juga Mat, kalau ada kematian kamu akan bacakan talkin, Yasin.
                Agama dan perkauman saling kait-mengait dalam masyarakat kami, contohnya mengambil riba adalah berdosa sesama kaum Yahudi tetapi dibenarkan dengan mereka yang bukan Yahudi.
                Aku tengok kaum kamu lemah Mat, lemah! Tak ada apa yang boleh dibanggakan dengan kaum kamu Mat. Setakat cedok ilmu dan idea orang lain adalah, lepas tu kamu bangga macamlah kamu hebat sangat.
                Engkau tahu Mat, macam mana kaum aku boleh jadi orang cerdik pandai dan boleh cipta macam-macam benda? Semuanya bermula dengan cara pemakanan dan adat resam agama yang kami amalkan sehingga ke hari ini. 
                Kalau ibu mengandung, kami galakkan mereka bermain alat-alat muzik seperti piano. Kami juga galakkan ibu yang mengandung untuk menyelesaikan masalah matematik.
                Jadi tidak hairanlah bila dapat tahu ibu mengandung, maka buku-buku matematiklah yang akan kami beli. Si ibu ini akan terus menyelesaikan masalah matematik dan bermain muzik sehinggalah dia melahirkan anak itu.
                Tujuan kami untuk merangsang dan melatih minda anak di dalam kandungan dengan harapan bila dewasa nanti anak itu akan menjadi orang yang pintar dan genius.
                Bab pemakanan kami sangat titik beratkan, bukan macam kamu semua telan, tolak batu dan kayu sahaja. Sejak awal mengandung, si ibu akan disuruh makan kacang badam dan buah kurma bercampur susu.
                Tengah hari makanan utama kami roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai-bagai jenis kekacang. Daging ikan sangat baik untuk perkembangan otak, kami tak makan kepala ikan sebab mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak terutama anak di dalam kandungan.
                Inilah adat kami orang Yahudi, Mat. Untuk makan malam kami biasanya makan ikan. Biasanya daging tidak aka nada bersama di meja jika sudah ada ikan. Sebabnya campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama.
                Salad dan kacang pula sudah jadi kemestian kami terutama badam. Satu lagi yang kamu tidak tahu Mat, sebelum makan hidangan utama, kami akan makan buah-buahan terlebih dahulu sebabnya kami percaya kalau kita memakan hidangan karbohidrat seperti roti atau nasi terlebih dahulu, kemudian buah-buahan, ia akan menyebabkan kita rasa mengantuk dan lemah untuk memahami pelajaran di sekolah.
                Senang cerita otak akan jadi lembap Mat! Lembap! Sebab itu sejak di tadika lagi kami sudah dapat menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Hebrew, Arab dan bahasa Inggeris.




Antirokok
Seperkara lagi aku nak pesan dengan kamu Mat, kalau dekat Israel merokok adalah satu perkara yang sangat dilarang. Jadi kalau engkau datang ke rumah kami, kemudian kamu merokok alamatnya kamu pasti dihalau: “Get out!
                Kami benci dengan rokok sebabnya kajian kami mendapati nikotina yang terkandung di dalam rokok dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan secara tidak langsung juga keturunan perokok akan rosak otaknya atau menjadi lemah atau lembap. Kerosakan ini akan melekat dan kekal pada DNA dan genetik perokok sampai bila-bila.
                Tapi aku tengok bangsa engkau Mat paling kuat merokok. Tak habis-habis merokok sampai dalam dan luar tandas berkepul asap! Kalau kamu datang ke Jerusalem jangan harap dapat merokok! Walaupun rokok-rokok itu dicipta oleh bangsa kami. Kami hanya nak kaut untung saja! Kami tidak mahu penyakit tembakau meragut nyawa keturunan kami.
                Hah..! Sebab itulah kaum aku semuanya bijak pandai, terkenal di seluruh dunia. Buktinya kau lihat sahaja Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka s=dan disebut dalam majalah Time sebagai ‘Manusia Abad Ini’ seorang Yahudi, Sigmund Freud, bapa psikoanalisis dengan teori id, ego dan superego adalah seorang Yahudi.
                Begitu juga dengan Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman. Kesemua mereka adalah orang Yahudi, Mat! Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang telah menghasilkan pelbagai keperluan untuk kita semua dengan hasil kebijaksanaan mereka.
                Benjamin Robin misalnya telah memperkenalkan jarum suntikan pelalian. Johas Salk mencipta vaksin polio yang pertama, Alex Sabin membangunkan vaksin polio hidup yang lebih baik.
                Gertrude Elion telah menghasilkan sejenis ubat untuk melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B sementara Paul Ehrlich pula telah menemukan rawatan untuk sifilis.
                Bukan itu sahaja Mat, Aaron Beck misalnya telah menemui terapi kognitif, satu terapi untuk rawatan sakit mental, kemurungan dan fobia. Gregory Pincus pula telah Berjaya membangunkan pil perancang keluarga secara oral yang pertama.
                Sementara itu Mat, George Wald telah memenangi Anugerah Nobel untuk kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahkan Hadiah Nobel dalam kajian embriologi, satu kajian mengenai janin dan perkembangannya.
                Semuanya orang Yahudi, Mat! Yahudi! Kalau kau nak tahu lagi, Stanley Mezor adalah orang yang pertama mencipta mikrocip yang ada sekarang ini. Leo Szilards adalah orang yang telah membangunkan reaktor rangkaian nuklear yang pertama, Peter Schultz menghasilkan kabel gentian optik, Charles Adler hasilkan lampu isyarat, Benno Strauss hasilkan besi tahan karat (stainless steel), Isador Kisee mencipta sistem suara di pawagam, Emile Berliner mencipta mikrofon untuk telefon dan Charles Ginsburg pula mencipta alat pita rakaman.
                Semuanya orang Yahudi cipta Mat, terlalu banyak orang Yahudi buat untuk kepentingan dunia ini sampai tak larat aku nak sebut.
                Dalam bidang perniagaan kami tak pernah kalah Mat. Cuba kau tengok jenama-jenama produk dan barangan terkaya di dunia juga dikuasai oleh orang-orang Yahudi. Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi’s Jeans), Howard Schultz (Starbuck’s), Sergey Brin (Google), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).
                Semuanya milik orang Yahudi, perniagaan kami hebat, besar dan luas. Kau tahu kenapa Mat? Sebab kami tak macam kamu, suka hasad dengki sesame sendiri, pantang tengok orang lain senang sikit mulalah sakit hati, lepas tu jumpa bomoh sana jumpa bomoh sini.
                Ishhhkkk…apa ni Mat, macam tak ada tamadunlah kamu ni.Orang –orang Yahudi kalau kamu nak tahu Mat, sangat bersatu dan berpengaruh.Lihat sahaja Richard Levin, presiden university tersohor, Yale University. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright semuanya bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, kah…kah…kah…kah…
                Maxim Litvinov bekas Menteri Luar Soviet Union, David Marshal, bekas Ketua Menteri Singapura yang pertama, Benjamin Disraeli seorang negarawan dan penulis Britain terkenal.
                Ishh…banyak lagilah Mat. Tak larat aku nak sebut semuanya satu per satu. Dalam dunia media, orang Yahudi juga yang ‘pegang’ dan berkuasa. Nak bukti?
                Nak tak sekarang Mat? Kau apa yang ada Mat? Apa bangsa engkau nak banggakan? Bahasa Melayu, Utusan Melayu? Itu saja yang tinggal nama bangsa Melayu! Baju Melayu, Kereta Api Tanah Melayu…
                Kah…kah…kah…kami lagi hebat Mat, kau lihat betapa berkuasanya orang-orang Yahudi. Terlalu banyak yang hendak aku banggakan Mat. Di Olimpik pun kami hebat, lihat sahaja Mark Spitz, dia berjaya membolot tujuh pingat emas, Lenny Krayzelburg pula pemenang tiga kali pingat emas Olimpik, Spitz Krayzelburg dan Boris Becker semuanya Yahudi, Mat.
                Lagi satu aku nak tanya dengan kamu Mat, kamu tahu tak pelakon pujaan ramai seperti Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Crystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, William Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi!
                Hollywood tu hah! Siapa yang punya Mat? Siapa Mat? Siapa lagi kalau bukan milik kami, orang Yahudi, Mat.
                Tengok juga pengarah dan penerbit filem, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1-2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo’s Nest), Douglas Fairbanks (The Thief of Baghdad) dan Ivan Reitman (Ghostbusters) semuanya orang Yahudi, Mat.
                Mat…aku minta maaf kalau engkau rasa aku berlagak dan cakap besar tapi ini adalah hakikat bangsa kami, bangsa pilihan Tuhan. Kalau kau nak mengata aku terpulanglah Mat, sudah memang jadi kebiasaan orang-orang Melayu memang suka mengata, mengumpat!
                Aku tahu jumlah umat Islam memang besar Mat, nisbah orang Islam dengan Yahudi cuma 1:100 Mat. Bilangan orang Yahudi terlalu kecil, tapi kami tak gentar Mat sebab dunia dalam tangan kami!
                Apa ada pada angka Mat? Walaupun angka kami kecil, jumlah kami sedikit tapi kami mampu menggoncang dunia.
                Mat aku cabar engkau datang lagi bawa kapal Flotila ke Gaza. Kalau betul kamu anak jantan silakan datang. Kami akan pastikan engkau dan bangsa kamu Melayu tidak dapat berlabuh di pelabuhan kami.
                Kah…kah…kah…Kah! Kah! Kah!
                Kami bangsa pilihan Tuhan Yahweh!



Sumber: majalah Mastika, keluaran Ogos 2011, halaman 66-72   



Kata aku;

Senang ja nak kalahkan Yahudi ni, kembali kepada ajaran sebenar Islam seperti yang diperintahkan dalam al-Quran dan seperti yang dicontohkan oleh junjungan besar, manusia terbaik, Nabi Muhammad SAW.
Tapi tu la, sekadar cakap di mulut memang mudah, nak buat dan istiqamah itu yang perlu mujahadah
Bagaikan menggengam bara api di akhir zaman!

Kena banyak-banyak istighfar…

               

Kebebasan, hak asasi agama baru dunia


Oleh Maulana Arrif

Enam ratus lima puluh sembilan (659) pasangan dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan sejenis di New York pada Ahad lalu, mencatatkan rekod jumlah perkahwinan gay dan lesbian yang terbanyak dalam sehari.

New York adalah negeri yang keenam di Amerika Syarikat (AS) yang ‘menghalalkan’ perkahwinan sejenis. Ini bermakna 44 negeri sahaja lagi di negara pengeksport ideologi demokrasi, kebebasan dan hak asasi itu yang belum mengiktiraf seks dan perkahwinan sejenis. Lambat-laun negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah New York. Logiknya hanya masa yang menunda pelaksanaan kebebasan yang amat bertentangan dengan syariat agama Islam ini.

Berita ini mungkin dibaca dengan senyum sinis oleh umat Islam di Malaysia. Pada akal kita, tidak mungkin budaya kuning yang Allah kutuk di dalam al-Quran itu akan menular ke Malaysia suatu hari nanti. Persoalannya, adakah semua umat Islam benar-benar menjiwai dan beriman dengan al-Quran?

Senyumlah atau ketawalah. Syaitan-syaitan juga sedang ketawa. Banyak perkara yang dulu kita ketawakan sudah menjadi budaya tiruan di Malaysia. Lihatlah betapa ada kumpulan wanita Islam di Malaysia yang mahu menghapuskan poligami walaupun ia dibenarkan Allah SWT.

Apabila nilai-nilai budaya itu datangnya dari masyarakat yang lebih maju dari segi keduniaan, akan mudahlah masyarakat yang kurang maju terkeliru dan meniru.

Seks sejenis sebenarnya turut diamalkan oleh segelintir kalangan masyarakat Malaysia termasuk mereka yang dilahirkan sebagai orang Islam. Secara senyap-senyap ia mungkin merebak. Cuma mereka yang mengamalkannya masih menyorok dari pengetahuan umum. Malu kepada manusia atau malu kepada Allah? 

Bayangkan jika bilangan pengamal seks sejenis bertambah dan turut menular di kalangan yang berpengaruh. Betapa jika terdapat kalangan pemimpin politik yang juga melakukan seks sejenis. Jangan lupa bahawa Malaysia juga mengamalkan demokrasi berpilihan raya sama seperti di AS.

Lazimnya dalam pilihan raya, kemenangan ditentukan oleh puak majoriti. Tetapi di Malaysia sendiri kita dapat melihat betapa suara minoriti boleh mempengaruhi suara majoriti apabila kalangan yang bertanding dalam pilihan raya mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada puak majoriti. Akhirnya satu demi satu kehendak minoriti disuarakan secara terbuka dan lambat-laun terpaksa diterima oleh kalangan ahli politik yang memburu undi sokongan.

Peluang
                Itulah yang berlaku di AS. Perebutan kuasa yang sengit antara parti Demokrat yang lebih liberal dengan parti Republikan yang konservatif akhirnya memberikan peluang kepada golongan minoriti untuk bersuara. Tuntutan mereka dipenuhi setelah bilangan mereka bertambah dan suara mereka semakin lantang melalui demonstrasi di jalan raya.

                Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah! Allah telah menauliahkan nabi demi nabi dan menurunkan kitab demi kitab untuk membimbing manusia ke jalan yang betul, tetapi manusia mudah lupa, lekas tewas kepada nafsu dan tunduk kepada kemewahan dunia.

                Nabi yang terakhir ialah Muhammad SAW dan kitab terakhir ialah al-Quran. Tiada lagi pembimbing manusia ke jalan yang lurus selepas Muhammad dan al-Quran. Jika kita tergelincir daripada cara hidup yang Allah perintahkan, rasailah akibatnya di dunia dan akhirat sebagaimana yang menimpa umat-umat dahulu termasuk kaum Nabi Lut, Nabi Nuh, Tsamud, Aad dan Madyan yang dinyatakan dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia sepanjang zaman.

                Berhati-hatilah dengan sebarang nilai yang sedang dieksport dengan agresif dari Amerika Syarikat ke negara-negara yang penduduk majoritinya beragama Islam. Janganlah mudah terperangkap dengan apa jua yang disuakan atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka yang ghairah menerima fahaman ciptaan nafsu manusia ini juga termasuk orang-orang yang dilahirkan beragama Islam.

                Yang berserban dan menuntut di Universiti Al-Azhar juga sudah terjebak sebelah kaki. Di mana iman mereka? Ini semua adalah gara-gara mahukan kejayaan di dunia, bukan kejayaan di akhirat yang Allah janjikan untuk orang-orang yang beriman. Jika ditanya, mereka akan memberikan dalil yang palsu. Disebabkan mereka ini berkelulusan tinggi agama, ramai yang turut percaya.

                Dulu ramai yang tertarik dengan fahaman sosialis yang diasaskan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels, sekalipun mereka berteori bahawa agama itu adalah candu yang boleh merosakkan kehidupan manusia. Daripada teori mereka lahirlah fahaman komunisme yang menganjurkan keadilan sosial dan ekonomi sama rata untuk semua manusia. 

                Akhirnya komunisme runtuh dan tinggal sisa cebisan di beberapa buah negara sahaja. Bangkit pula demokrasi, kebebasan dan hak asasi. Apa bezanya fahaman komunisme yang menentang agama dengan fahaman kebebasan bawaan Amerika yang turut mengizinkan seks sejenis? Tidakkah fahaman yang dieksport dari  Amerika ini juga menghancurkan institusi agama?

Fahaman
                Bezanya, hanyalah dari segi pendekatan. Komunis menggunakan pendekatan yang lebih keras, tetapi fahaman kebebasan dan hak asasi dari Amerika menghancurkan agama melalui proses demokrasi yang penuh manipulasi dan penipuan. Betapa ada pemimpin-pemimpin politik yang dulu menganut fahaman sosialisme, sekarang beralih kepada demokrasi, kebebasan dan hak asasi sebagai agama baru mereka.

                Allah menyuruh orang-orang beriman supaya berdoa memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad juga menyuruh kita bekerja seolah-olah akan hidup selama-lamanya, tetapi beribadatlah seolah-olah akan mati esok.

                Bagaimanapun, matlamat kebanyakan manusia hanyalah mencari kekayaan dan berseronok dengan kekayaan itu. Budaya kebendaan ini turut meresap ke segenap sendi kehidupan masyarakat Islam. Zahirnya majoriti umat Islam menunaikan solat dengan menghadap ke Mekah, tetapi dalam banyak hal kehidupan kita berkiblat ke Amerika dan Eropah.

                Betul, tidak semua yang datang dari Barat itu bertentangan dengan nilai Islam, tetapi realitinya semakin ramai umat Islam yang sudah kelabu dan tidak tahu membezakan yang benar dan tidak benar. Puncanya kerana terlalu cintakan kehidupan dan kemajuan dunia. Seolah-olah mahu hidup selama-lamanya dan tidak akan mati. 

                Kejayaan masyarakat dan individu tidak lagi dilihat dari segi pegangan agamanya, tetapi kekuatan ekonominya. Apabila mencapai tahap ekonomi yang dihajati, mereka menuntut pula kebebasan yang dalam beberapa hal sangat bertentangan dengan ajaran agama.

                Inilah agama baru yang turut diimport ke Malaysia oleh badan-badan dakyah yang menyamar atas nama pelbagai NGO yang sebilangan besar hanya mempunyai beberapa kerat ahli. Malangnya suara mereka sangat mendapat tempat di media. Turut menyokong penyebaran agama baru ini ialah tokoh-tokoh politik yang dilahirkan beragama Islam dan mendakwa berjuang untuk Islam.

                Maka senyum dan ketawalah membaca laporan perkahwinan sejenis beramai-ramai di Amerika. Dan syaitan-syaitan pun turut ketawa kerana mereka yang berserban juga sudah berjinak-jinak dengan agama baru bertopengkan kebebasan dan hak asasi ini.




Sumber: Mingguan Malaysia, 31 Julai 2011, ruangan Rencana, halaman 9.


Apa kata aku?

Memang benarlah demokrasi itu sebenarnya membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Manusia mudah tewas kepada tiga ‘ta’ iaitu har’ta’, wani’ta’ dan takh’ta’, semua ini didorong oleh hawa nafsu.
Kepada mereka yang sedang berjuang menegakkan agama Islam dengan cara demokrasi (kepartian, politik, pilihan raya, negara Islam dll..), aku katakan bahawa kamu semua SUDAH SILAP LANGKAH!..kamu semua berada di landasan perjuangan yang SALAH SAMA SEKALI!

Aku tak akan peduli jika kamu semua tidak bersetuju dengan aku
Aku hanya mampu memberikan nasihat, tetapi terpulang kepada kamu semua untuk ikut atau tidak…

Sesungguhnya agama Islam (termasuk Negara Islam) tidak akan dapat diwujudkan melalui demokrasi; seperti yang kamu dakwa dan sedang perjuangkan itu
Hakikatnya, Kekhalifahan Islam (negara Islam, undang2 Islam dll..) hanya akan dapat ditegakkan melalui……………….
Melalui cara yang telah diajarkan serta ditunjukkan oleh Rasulullah SAW!

Semoga Allah memberikan taufik serta hidayahNya kepada kita semua.
Semoga kita semua (umat Islam) menjadi asbab hidayah ke seluruh alam
Moga Allah memberikan serta meningkatkan kefahaman tentang agama Islam dalam diri kita,
Demi mencapai kebahagiaan dunia dan di akhirat…

InsyaAllah!

Thursday, August 4, 2011

Kurang hormone punca uban?

Oleh Dr. Rushmini Maris Ismail (marissaesthethic@gmail.com)

Sahabat saya Nuri mengeluh kerana rambutnya nipis dan beruban. “Kalau tak pergi ke saloon sebulan sekali bagi mewarnakan rambut, sudah tentu saya akan kelihatan seperti berusia 70-an,” katanya. Nuri berasa hairan kerana ibu dan bapanya mempunyai rambut yang hitam dan lebat. Jika dikira faktor keturunan sudah pasti dia dari jenis keturunan berambut lebat tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Usia Nuri baru menginjak 40 tahun namun rambut banyak yang beruban. Ini membuatkan Nuri mencuba pelbagai jenis rawatan bagi memulihkan semula rambutnya. Sebut saja jenis rawatan pasti dia telah pun mencuba. Namun hasil yang diperolehi kurang memuaskan.

            “Mengapakah sesetengah orang macam saya cepat beruban? Apakah rawatan terbaik? Adakah harapan bagi saya untuk memiliki rambut hitam dan lebat semula?” tanya Nuri bertalu-talu.

            Menurut kajian seorang profesor anti-penuaan, kekurangan Melanocyte Stimulating Hormone (MSH) boleh menyebabkan rambut cepat beruban. Menurutnya, MSH merupakan hormon jenis peptide yang dihasilkan dalam otak kita. Hormon ini dihasilkan dari satu molekul panjang (pro ipiomelanocortin) dan akhirnya berpecah kepada beberapa hormon lain. Kekurangan hormon ini boleh jadi disebabkan faktor kurang protein tertentu dalam darah atau berkaitan denagn hormon adrenal yang kurang.


Fakta menarik mengenai hormon MSH

§    Penting bagi menstimulasi sel-sel melanosit yang mengeluarkan pigmen pada kulit dan rambut kita. Pigmen berwarna ini dinamakan melanin. Apabila matahari memancar, MSH akan bertindak meningkatkan pengeluaran melanin yang turut menjadi sunblock iaitu sel tabir suria yang penting. Secara tidak langsung ia melindungi diri daripada terkena kanser kulit atau sebarang masalah berkaitan matahari.

§   MSH juga menghalang rambut daripada menjadi beruban. Kajian saintifik menunjukkan kehadiran MSh memulihkan rambut uban, menjadikan ia hitam semula. Lebih-lebih lagi apabila rawatan dibuat dengan menggunakan hormon yang saling bertindak secara synergistic, keputusan yang didapat adalah memuaskan.

§      MSH mengurangkan selera makan. Seseorang yang kurang MSH didapati mudah menjadi gemuk disebabkan peningkatan ini.

§       MSH turut mengurangkan keradanagn kulit dan membantu seseorang yang mengalami ekzema.

§      MSH meningkatkan keupayaan seksual menjadikan seseorang itu lebih berminat terhadap hubungan seks. Bagi wanita ia meningkatkan rangsangan seks terhadap sentuhan dan bagi lelaki pula ia meningkatkan keupayaan seks menjadikan seseorang lelaki itu mampu berereksi lebih lama 
.
§     MSH mungkin meningkatkan jangka hayat. Seseorang yang berambut hitam dan lebat hidup lebih lama dari seseorang yang tampak tua dan berambut putih.

Satu lagi kaedah menarik bagi meningkatkan pertumbuhan rambut ialah penggunaan PRP (Platelet Rich Plasma). PRP merupakan ekstrak daripada darah kita sendiri. Darah diambil dari tubuh sebanyak 10 cc hingga 12 cc dan kemudian diproses menggunakan mesin khas. Darah yang diproses diambil patinya di mana ia mengandungi bahan-bahan yang kaya dengan stem sel dan juga hormon tertentu. Ia kemudiannya disuntik pada kulit kepala.  

Di Negara-negara maju seperti Korea, Amerika Syarikat dan negara-negara Arab, mereka menggunakan PRP meskipun setelah rawatan tanam rambut dibuat. Ia kerana PRP menjadikan rawatan tanam rambut lebih berjaya dan peratusan rambut tumbuh adalah lebih banyak. Suntikan PRP juga sering digunakan untuk memudakan kulit muka dan hasilnya amat baik sekali. Suntikan PRP pada muka mengurangkan garis halus membuatkan kulit tampak mulus dan lebih baik.

PRP juga sesuai digunakan bagi menyembuhkan luka kerana ia mempercepatkan pertumbuhan sel baru. Bagi pesakit kencing manis yang mempunyai luka yang sukar untuk sembuh, luka yang sedikit boleh menjadi parah sehingga membawa kepada potong kaki. Maka kaedah sebegini boleh digunakan bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka itu. Biasanya PRP disapukan sahaja pada kawasan luka selepas luka dicuci. Proses ini membuatkan luka cepat sembuh.

Meskipun Malaysia merupakan sebuah negara membangun dan belum mencapai taraf negara maju, namun kita tidak ketinggalan dalam bidang perubatan anti penuaan. Selain sikap terbuka kerajaan, sokongan perlu diberikan kepada doctor serta saintis dalam bidang ini bagi membolehkan kita mencapai tahap yang lebih tinggi. Kritikan berasaskan pengetahuan yang cetek tanpa member ruang kepada peningkatan ilmu dalam bidang ini akhirnya akan merugikan Negara kita. Pelancongan perubatan bukan sahaja menyaksikan orang luar datang menjalani pembedahan. Mereka turut mahu meningkatkan penampilan dengan mencuba pelbagai jenis perubatan anti penuaan di negara ini yang kosnya jauh lebih murah berbanding di negara mereka.

Sumber: Mingguan Malaysia, sisipan M2, Ruangan “Cantik Sihat”, 24 Julai 2011, halaman 24.


# rambut aku pun ada beberapa helai yang beruban…;-p