Monday, March 19, 2012

TULISAN PALING DIBENCI DI FACEBOOK

Oleh: Johardy Ibrahim

Adakah patut, tatkala semua orang berseronok mahu memberi sokongan kepada pasukan Harimau, seorang individu di Facebook muncul dengan pernyataan ‘orang sibuk nak ke stadium sampai lupa solat’. Adakah patut?
Bukan hendak menolak sebarang bentuk tazkirah atau nasihat agama berbentuk agama tetapi adakah patut seseorang itu beranggapan semua yang ke stadium begitu jahil agamanya? Untuk yang tidak pernah menjejak kaki ke stadium, ketahuilah bahawa ada disediakan surau di situ.
Rupa-rupanya sifat penceramah agama di Facebook ini begitu pantas menular. Tidak mengapa. Facebook adalah platform yang baik untuk berdakwah. Maka gunalah secara berhemah. Tetapi yang baru mencuba-cuba bakat jadi penceramah, mohon elakkan guna kaedah sinikal, sindiran atau paksaan. Ia hanya mengundang rasa penolakan dan menyampah menyamai Tahap 9 pada skala Richter.

Kutip
Ada juga yang tidak berimejkan pendakwah, cuma sekadar jadi orang yang memanjang-manjangkannya dengan meletakkan pernyataan itu pada akaun mereka selepas dikutip dari akaun orang lain.
Sebenarnya, kecenderungan di atas adalah salah satu daripada banyak perkara yang semakin tidak disenangi dalam Facebook. Matlamat asalnya sebagai ‘rangkaian sosial’ perlahan-lahan mengecil dan menjadi ‘rangkaian propaganda’ sama ada berbentuk agama, perniagaan atau politik. Tolong beritahu Mark Zuckerberg!
Secara peribadi, majoriti yang menjadi rakan dalam akaun Facebook saya adalah terdiri dari pembaca ruangan ini dan juga sesama penyokong Liverpool FC. Bagi yang sesama menyokong bola sepak, aliran perbualan dan pertukaran idea terus berlangsung dalam suasana akrab.
Yang satu lagi ini ada sedikit warna-warni, sukar diduga cara mereka berkomunikasi. Mereka mula menyiarkan elemen-elemen propaganda seperti disebut di atas. Mujurlah perubahan pada Facebook sekarang menjamin kita tidak perlu melihat kesemuanya.
Yang paling hebat propaganda. Maklumlah ada cara langsung untuk meluahkan rasa meluat pada pihak tertentu terus kepada orang akhbar. Hujah berapi-api. Demi keadilan. Demi kesamarataan. Demi hak asasi manusia. Kebanyakan masa bila terbaca pernyataan sedemikian, saya tertanya sudahkah budak ini mendaftar sebagai pengundi?
Apabila Facebook semakin tersasar daripada matlamat asalnya, makin ramailah yang mengurangkan lawatan. Mereka ini tidak terus menutup akaun. Cuma jengah sekali sehari berbanding sebelum ini minimum dua jam sehari! Ada yang beralih ke Twitter.
Apa pula yang menyebabkan anda bengang terhadap Facebook? Berikut adalah 10 tulisan yang dibenci dalam Facebook, yang mungkin pernah terkena pada anda.
1)      Pengkritik bebas:
Apa sahaja tidak disukainya jadi bahan kritikan di Facebook. Silap ejaan dalam memorandum pejabat pun diberitahu dalam Facebook. Belum lagi soal tak naik gaji atau memohon MC. Ada juga yang siap siarkan gambar sebagai bukti. Persoalannya, dia kritik orang bukan main lagi tapi bila kena kritik balik, melenting dan bidas kata kebebasan bersuara telah disekat. Sila guna kebebasan berfikir sebelum tunaikan kebebasan bersuara.

2)      Kisah percutian keluarga:
Memang sangat kaya dapat bawa satu keluarga bersama ibu ayah dan ibu ayah mertua bercuti ke Bandung, Indonesia. Kita membacanya tidak cemburu, cuma terkilan sebab tak sempat hendak pesan dia beli baju jenama tiruan di situ.

3)      Program makan-minum:
Apa sahaja yang dimakan atau minum, gambarnya disiarkan dalam Facebook. Kalau makanan itu eksotik seperti daging landak, memang menarik perhatian. Setakat nasi kerabu, itu selalu dan tidak perlu.

4)      Penceramah agama:
Mereka ini bukan penceramah bertauliah atau ada rancangan pun hendak memohon lesen berceramah. Mereka petik siaran ceramah orang lain dan disiar semula di akaun mereka sendiri. Seorang mufti baru-baru ini mengeluarkan peringatan supaya berhati-hati dengan hobi petik-memetik surah ayat suci jika tiada bimbingan. Maaf, saya bukan perlekeh sesiapa hendak sampaikan dakwah. Tapi biarlah berhemah supaya tiada yang tersesat akidah.

5)       Pengiklan percuma:
Bermodalkan mutu kerja yang baik, maka dipaparkannya dalam Facebook. Kita pun terkesima. Pada akhiran ayat tertera: Jika anda mahukan khidmat, hubungi dot..dot..dot di talian dot..dot..dot..dengan kadar caj yang mampu dibayar! Gerakan seterusnya, REMOVE dia!

6)      Anak jadi modal cerita:
Ini lazimya dilakukan oleh kaum ibu terutama musim ujian sekolah. Lucu bila sebelum ujian, sang ibu mengaku diri mereka yang terlebih cemas. Bila keputusan diumumkan, mereka akan paparkan perutusan tahniah ditujukan kepada anak mereka, supaya dibaca oleh rakan taulan. Itu baru lulus UPSR. Mujur STPM tiada saya temui sebegini. Mungkin ibu generasi ini tiada akaun Facebook atau pun rasa segan hendak bermegah anak mereka bakal memasuki universiti berbanding UPSR.

7)      Perutusan cinta:
Lazimya diamalkan oleh golongan remaja dan pasca remaja yang asyik dilamun gelora asmara. Bezanya, mereka guna istilah bukan konvensional. “PM me. SD” (private message me. Sweet Dreams atau Mesej Peribadi kepada saya. Mimpikan yang Indah!) Pasangan ini akan berbalas-balas ucapan. Kita yang tiada kaitan ini bukan dengki, tapi geli sebab mereka hendak canang cinta mereka  hingga kepada Mark Zuckerberg.

8)      Pemaparan ego:
Secara disengajakan atau tidak, golongan ini tidak kisah. “Suamiku bertanya ke mana cincin dia beli. I kata cincin itu dah diberi pada anak. Jadi suami kena belikan yang baru pada ku”. Bunyi memang romantik tapi kasihan kawan lain yang membaca sebab suami mereka hendak bawa makan ke KFC pun kena buat catuan, apalagi dua tiga bentuk cincin.

9)      Psiko badan:
Sering merungut mengenai badannya yang gemuk tapi mencemuh orang yang kurus sebagai penagih dadah. Sebenarnya, dia tidak ada masalah berat badan, cuma masalah kacau jiwa dan perasaan.

10)  Umumkan penamatan akaun Facebook:
Isytihar ke seluruh alam betapa dia tidak lagi seronok bersosial di Facebook. Bahawa Facebook ini membuang masa sahaja dan menjadi medan fitnah. Anda buka Facebook pagi esok, pernyataan pertama anda dapati di situ masih daripada dia!





Mingguan Malaysia keluaran 18 Mac 2012, bahagian Rencana, halaman 9.

Friday, March 9, 2012

corat-coret Jerman pra EURO 2012


Aku sudah mula sedikit meragui peluang Jerman untuk muncul juara di EURO’12. Bahkan aku juga meragui keupayaan mereka untuk layak ke pusingan kalah mati dari “kumpulan maut” berdasarkan prestasi semasa kebanyakan pemain2nya terutamanya dari Bayern Munchen.

Sebenarnya, dari awal2 lagi aku dah mula perasan salah satu masalah utama Jerman ialah di bahagian bek sayap, terutamanya di bek sayap kiri. Oklah, di bek sayap kiri ada Philipp Lahm dan dia merupakan pemain yang punya kelas serta berpengalaman luas di peringkat antarabangsa terutama dalam kejohanan besar, ini satu fakta yang tidak dapat diragukan lagi. Tapi, melihat usianya yang semakin meningkat, terdapat kecenderungan bahawa dia bukan lagi Lahm yang sering kita lihat dulu terutamanya dari segi kepantasan yang semakin menurun seiring dengan peningkatan usia. Dia mungkin dapat bermain untuk Jerman mungkin untuk tempoh kira2 2-3 tahun lagi; jika segalanya berjalan lancar dan dia bebas dari sebarang kecederaan serius dalam tempoh tersebut. Cuma apa yang merisaukan adalah siapakah yang bakal menjadi pengganti Lahm di posisi bek sayap kiri jika Lahm mengalami kecederaan sekaligus tidak dapat bermain? Atau Lahm sudah bersara? Melihat nama2 pemain yang sering menjadi pilihan Joachim Low seperti Dennis Aogo dan Marcell Schmelzer dimana mereka diletakkan di posisi tersebut ketika diberi peluang menggantikan Lahm ketika berlangsungnya beberapa perlawanan antarabangsa sejak kira2 setahun yang lalu, (terutamanya Schmelzer) ternyata mereka masih belum mampu menggalas tugas sebagai pengganti Lahm dengan baik; ditambah dengan fakta bahawa mereka ini masih miskin pengalaman di peringkat antarabangsa seterusnya ini akan menjadi satu “weak point” yang mampu dieksploitasi oleh pihak lawan. Oleh itu, aku rasa tidak ada salahnya jika Low memanggil semula beberapa pemain yang pernah bermain di posisi tersebut sebelum ini seperti Marcell Jansen atau Christian Pander. Heiko Westermann juga boleh dipertimbangkan untuk dipanggil semula melihat keupayaannya mampu bermain sebagai bek tengah mahupun di kedua2 posisi bek sayap (kiri dan kanan).

Untuk posisi bek sayap kanan pula, aku melihat Jerome Boateng punya sedikit kelebihan berbanding Benedikt Howedes kerana Boateng sudah terbukti mampu menjalankan tugasnya di posisi tersebut dengan baik di peringkat kelab serta beberapa kali ketika bersama Jerman (walupun dia cenderung untuk lebih bertahan dan jarang membantu serangan atau melakukan overlapping). Aku cenderung untuk melihat Howedes lebih berkebolehan sebagai bek tengah dan mungkin boleh dijadikan sebagai pemain simpanan atau sokongan kepada mana2 bek tengah yang sedia ada seperti Per Mertesacker, Mats Hummels dan Holger Badstuber

Masalah kedua yang aku lihat adalah tidak adanya atau belum adanya pemain yang mampu menjadi pengganti kepada Michael Ballack sebagai pemimpin di tengah padang. Sejak Piala Dunia 2010, Bastian “Schweini” Schweinsteiger telah memainkan peranan yang cukup penting di bahagian tengah Jerman walaupun tanpa kehadiran Ballack yang cedera ketika itu. Sama halnya di mana Schweini telah berperanan penting di peringkat kelab, Bayern Munchen. Jadi, dapat dikatakan bahawa pemain yang boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin (walaupun belum menandingi karisma dan kemimpinan Ballack), adalah Schweini, baik di peringkat kelab mahupun negara. Dengan situasi semasa di mana dia cedera serta mungkin memerlukan beberapa waktu untuk kembali kepada prestasi terbaik sedangkan EURO’12 hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi, ini adalah satu petanda yang kurang baik buat Jerman. 

Sebenarnya seperti ramai sedia maklum, di bahagian tengah Jerman mempunyai banyak pemain2 berpotensi dan relatif masih muda seperti Toni Kroos, Mesut Ozil, Sami Khedira, Mario Gotze, Andre Schurrle dan lain2 tapi sayangnya di antara semua nama2 yang telah disebutkan tadi tidak ada seorang pun yang masih mampu menjadi pemimpin di tengah padang (tanpa kehadiran Schweini), setidak2nya untuk tempoh 1-2 tahun ke depan. Sebuah pasukan yang hebat bukan sahaja dibentuk oleh pemain2 yang berbakat atau strategi yang jitu, tetapi juga memerlukan seorang pemain yang berkarisma yang mampu memimpin pemain2 lain di atas padang. Bukan sahaja memimpin pasukan untuk meraih kemenangan tetapi lebih dari itu seorang pemimpin itu mampu untuk bersikap tenang tapi pada masa yang sama juga berkeupayaan untuk menyuntik semangat serta memberi inspirasi kepada pemain2 lain (terutamanya pemain2 muda) lebih2 lagi jika pasukan sedang ketinggalan dari segi jaringan gol dan mencuba untuk bangkit semula dari keterpurukan (kalah). Sehebat-hebat kepimpinan Michael Ballack, Jerman masih juga belum mampu mengalahkan pasukan2 kuat seperti Sepanyol. Sekarang bagaimana?

Berbalik kepada Lahm sebagai kapten/pemimpin pasukan Jerman pada masa sekarang, terus terang aku katakan dia bukanlah jenis pemain yang punya kebolehan untuk memimpin sebuah pasukan..setidak2nya apabila Jerman berhadapan dengan pasukan2 kuat seperti Sepanyol. Dia tidak ada karisma di samping itu juga agak naif.

Sekarang, di posisi serangan. Sejauh ini, aku belum nampak mana2 pemain yang mampu menjadi pengganti kepada Miroslav Klose pada masa akan datang. Ya, memang benar Jerman juga ada Mario Gomez yang beraksi dengan cukup baik di peringkat kelab (Bayern Munchen; setidak2nya untuk paruh musim pertama untuk Bundesliga serta kejuaraan domestik lain musim 2011-2012) dan dia juga telah menampilkan aksi yang cemerlang sepanjang pusingan kelayakan EURO’12 berlangsung. Tapi, harus diingat bahawa pusingan kelayakan dan kejohanan yang sebenar adalah dua perkara yang berbeza. Jika kita imbas kembali beberapa tahun dahulu, atau lebih tepat di penghujung 2007 dan awal tahun 2008, Gomez merupakan bahan buah mulut kebanyakan orang terutamanya di Jerman seiring dengan kehebatan beliau meledakkan beberapa gol ketika berlangsungnya beberapa perlawanan persahabatan (terutama ketika Jerman mengalahkan Austria 3-0 serta mengalahkan Switzerland 4-0) yang mana dalam setiap perlawanan tersebut (seingat aku) dia berjaya menjaringkan lebih dari 1 gol. Tetapi ketika berlangsungnya kejohanan EURO’08, prestasinya terus menjunam. From hero to zero. Dia bukan sahaja gagal menjaringkan walau 1 gol pun, malah lebih dari itu dirinya menjadi bahan tawa banyak orang ketika gagal memasukkan bola ke dalam gol walaupun pintu gol sudah terbuka luas dan dia hanya berjarak kira2 1 meter dari pintu gol ketika bertemu Austria pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan. 

Sebelum EURO’08 berlangsung, Gomez diletakkan sebagai tandem buat Klose di bahagian serangan melalui formasi 4-4-2 malah dia dijangkakan bakal menjadi salah satu bintang baru yang akan bersinar sepanjang kejohanan EURO’08 berlangsung. Akan tetapi, setelah berakhirnya pusingan peringkat kumpulan dan bermulanya peringkat kalah mati, Low sudah tidak menaruh harapan serta kepercayaan terhadapnya lagi lalu dia dipinggirkan dan serta merta formasi Jerman berubah dan buat pertama kalinya (dalam sejarah rasanya), Jerman menggunakan formasi 4-2-3-1 (varian dari 4-5-1) yang menggunakan Klose sebagai penyerang tunggal di bahagian serangan ketika berhadapan dengan Portugal di peringkat suku akhir yang mana Jerman akhirnya menang 3-2. Formasi tersebut sangat sesuai dengan pasukan Jerman sehingga mampu membawa mereka ke perlawanan akhir di kejohanan tersebut..dan ianya masih diguna pakai sehingga sekarang (kebanyakan pasukan utama dunia juga menggunakan formasi tersebut pada masa sekarang) walaupun kadang kala Low bereksperimen dengan menerapkan sistem formasi 4-1-4-1 mahupun yang agak janggal, formasi 3-5-2 (ketika menentang Ukraine pada separuh masa pertama di penghujung 2011).

Sama juga halnya di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Gomez jarang diturunkan dan hanya bertindak sebagai pemain pengganti kepada Klose yang masih diletakkan sebagai penyerang utama dan tunggal dalam formasi yang sama. Dengan kata lain, melihat kepada “track record” Mario Gomez di kejohanan utama dunia seperti EURO dan Piala Dunia (bukan kelayakan), masih banyak yang perlu diperbaiki dan dibuktikan olehnya.

Beralih kepada posisi penjaga gol, rasanya Jerman tidak mempunyai masalah yang bererti di bahagian ini. Walaupun prestasi semasa Manuel Neuer bersama Bayern Munchen tidaklah begitu memberangsangkan, namun ianya berlaku lebih disebabkan “lubang” yang ada di bahagian tengah Bayern setelah ketiadaan Schweini yang cedera. Neuer juga beberapa kali melakukan kesilapan (blunder) dalam beberapa perlawanan peringkat domestik sebelum ini tetapi aku yakin dia mampu untuk kembali ke kemuncak prestasi sebagaimana yang telah ditunjukkannya ketika berlangsungnya Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan tidak lama dulu.  

Tambahan pula, Jerman memang mempunyai tradisi memiliki barisan penjaga gol antara yang terbaik di dunia beberapa dekad lamanya. Ter Stegen, Bernd Leno dan Robert Zieler (sekadar menyebut beberapa nama) merupakan antara penjaga gol muda berbakat yang memiliki prospek yang cerah untuk mewakili pasukan senior Jerman suatu hari nanti. Sudah tentu, mereka perlu lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa untuk mematangkan diri sebelum benar2 layak untuk menggantikan tempat Neuer…walaupun ianya mungkin akan mengambil masa yang agak lama untuk mereka mendapatkan kesempatan demikian melihat prestasi konsisten Neuer bersama Jerman di tambah usianya yang relatif masih muda..untuk ukuran seorang penjaga gol. 




Isnin, 5 Mac 2012

Menghadapi tekanan secara Islam


Oleh PROF. DR. OSMAN CHE BAKAR
(Profesor dan Pakar Perunding Kanan Psikiatri di  Fakuti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) 

Ramai yang tertekan serta menderita apabila mengalami peristiwa  atau musibah seperti kerosakan harta benda, kehilangan atau kegagalan dalam kerjaya, percintaan atau rumah tangga dan sebagainya.

                Musibah atau tekanan adalah satu peristiwa yang ditakuti dan tidak dikehendaki oleh mana-mana individu di dalam kehidupan seharian.

                Majoriti daripada kita akan bertindak balas secara spontan sama ada mengeluh, memaki-hamun dan marah terhadap seseorang malah ada pula yang marah kepada takdir Tuhan.

                   Individu yang terbabit dengan musibah mengalami gejala-gejala tekanan seperti bimbang, hilang tumpuan, cepat marah, tidak dapat tidur, hilang selera makan dan lain-lain lagi.

                Berdasarkan personaliti serta cara seseorang menangani sesuatu tekanan, ada yang merasakan kehidupannya sudah tidak bererti, menjadi panik dan merasakan yang dunia ini kejam terhadapnya.

                Situasi ini akan lebih menyakitkan apabila ada pula insan sekeliling yang memberi ulasan-ulasan negatif.

                Sering dikatakan musibah didatangkan sebagai hukuman atau peringatan daripada Allah SWT tetapi hakikat dan tujuan yang sebenar, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

                Bolehkah kita mentakrifkan apa yang ditentukan Allah SWT mungkin benar atau sebaliknya?

                Lupakah kita ujian-ujian yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah dan para nabi jauh lebih hebat dan apakah mereka ini melakukan banyak kesalahan serta kita lebih baik daripada mereka?

                Tetapi sebagai seorang Islam, kenapa kita tidak melihat dan pelajari akan apa yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran serta sunah Rasulullah melalui hadisnya.

                Allah SWT menegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 286, bahawa Dia tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

                Ini bermakna setiap individu yang mengalami musibah tersebut akan mampu mengatasinya.

                Kerap seseorang individu menjadi kecewa, marah dan susah hati apabila sesuatu hajat yang diingini tidak berjaya atau perkara lain pula yang berlaku.

                Mereka lupa akan firman Allah SWT; “Adakalanya sesuatu itu tidak baik bagimu meskipun kamu begitu mengkehendakinya dan adakalanya sesuatu itu baik bagimu meskipun kamu tidak menyukainya, sesungguhnya Aku mengetetahui tetapi kamu tidak mengetahuinya”.

                Kita terlalu mengharapkan keseronokan, kemudahan serta kenikmatan dunia, sudah tentu ia tidak salah kerana ia adalah sifat naluri seseorang manusia.

                Allah SWT juga menyuruh kita berbuat demikian seperti firmanNya; “Dan hendaklah kamu mencari kebaikan akhirat dan jangan lupa habuan kamu di dunia”.

                Masalahnya, ramai di antara kita tidak mempedulikan janji Allah SWT tentang kehidupan akhirat yang mana ia adalah kehidupan yang kekal sebenarnya dan lebih baik.

                Jika kita benar bertakwa dan yakin, majoriti daripada tekanan yang kita alami tidak memerlukan kita bersedih dan merasa kecewa yang melampau bahkan dapat melihatnya secara lebih positif.

                Pun begitu, janganlah ada antara kita beranggapan kita tidak memerlukan rawatan dan ubat-ubatan bahkan menasihati ahli keluarga atau rakan yang mengalami tekanan untuk tidak mendapatkan rawatan memadai hanya dengan reda.

                Ramai antara kita yang tersalah faham mengenai konsep reda dalam Islam. Reda pada Islam bukan bererti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa disusuli dengan usaha dan ikhtiar.


Sikap Terbuka

Ubat-ubatan dan kaunseling akan melengkapkan proses pemulihan emosi seseorang individu.

                Dapatkan nasihat daripada mereka yang mempunyai pengalaman mengatasi masalah tersebut, berkongsilah masalah anda dengan saudara-mara atau rakan karib atau mana-mana individu yang anda percaya dapat membantu.

                Cubalah amalkan mengambil sikap terbuka dan fikirlah secara positif dan objektif dalam usaha menyelesaikan sesuatu kesulitan.

                Bermula sekarang, kita harus mengambil pendekatan tidak mengeluh bahkan banyakkanlah menyebut Allahuakbar, Subhanallah, Astaghfirullah berulang-ulang kali kerana jika kita mengeluh, memaki-hamun contohnya apabila terpijak paku, kita meneriak celaka sambil memaki-hamun, percayalah kita akan lebih merasa sakit.

                Tetapi jika kita ingat dan yakin akan apa yang diberitahu Allah SWT dan ajaran Rasulullah, kita akan merasa kurang sakit, reda serta mendapat limpahan keampunan dan rahmat Allah SWT. Kita hendaklah bersabar dan banyak berdoa serta dapatkan rawatan dan pertolongan supaya kita beroleh kejayaan, di dunia apalagi di akhirat.  


Sumber: Mingguan Malaysia, bahagian Kesihatan, Ahad 5 Februari 2012, halaman 25