Anak itu
bernama Wafi. Pertama kali aku mengenali anak bertubuh kecil, kurus dan
berkulit gelap ini ketika kami menjejakkan kaki ke Rumah Anak Yatim Darul
Hannan tahun lalu. Wafi berusia sepuluh tahun tetapi tumbesarannya terganggu
pleh demam panas yang melanda dirinya ketika berusia lima tahun. Sejak itu,
Wafi menghadapi masalah pertuturan dan tidak berkemampuan berbicara lebih
lancar. Tetapi Wafi seorang anak yang lincah dan aktif. Dia tidak boleh duduk
diam. Ada sahaja yang mahu dibuatnya. Tetapi satu sikapnya yang sering aku
perhatikan, yang menjadikannya dia unik ialah kegemarannya menyendiri dan
mengasingkan diri dari kawan-kawannya.
Ustaz Mujib
menjemput kami ke bilik mesyuarat sebaik sahaja kami tiba di Darul Hannan pada
awal Ramadan tahun lalu. Rumah anak yatim yang terletak di kawasan seluas 10
ekar yang diwakafkan itu agak jauh dari jalan besar dan berada di penghujung
kampong. Pokok buah-buahan yang merimbun sekelilingnya ditanam Darul Hannan
dibuka, kira-kira sewaktu sepuluh tahun yang lalu. Di bawah pokok yang merimbun
dan rending ini, anak-anak Darul Hannan bermain dan bergembira. Mereka tidak
tahu duka, tidak mengerti sengsara meskipun hidup terasing tanpa keluarga
dansaudara mara.
Di
pinggirnya ada sebatang sungai kecil yang airnya digunakan untuk menyiram
beberapa batas sayur yang ditanam untuk kegunaan anak Darul Hannan. Apabila
tiba musim buah-buahan, anak-anak ini akan mengutip hasilnya lalu dijual kepada
peraih bagi menambah wang perbelanjaan dan penyelenggaraan asrama.
Itulah kali
pertama aku datang ke Darul Hannan. Syarikatku saban tahun datang ke rumah
anak-anak yatim untuk menyerahkan sumbangan sempena bulan puasa. Kali ini Darul
Hannan terpilih. Kami datang dari kota dengan dengan tiga buah kereta dan
sebuah van yang dipenuhi barang-barang yang disumbangkan oleh syarikat. Kabus
masih menyelubungi Darul Hannan ketika kami tiba. Darul Hannan yang tenteram
tetapi riuh rendah oleh suara anak-anak yatim yang berada dalam kelas
masing-masing. Meskipun hari minggu, mereka tetap tidak ketinggalan mengikuti
kelas tambahan yang diadakan di dewan yang tidaklah begitu besar. Kelas ini
disediakan percuma oleh sekumpulan pelatih guru dari maktab perguruan
berhampiran.
Sewaktu
melintas kelas mereka itulah aku terpandang Wafi yang berdiri di sebalik pintu,
memerhati kami masuk ke dalam bilik mesyuarat yang letaknya di sebelah dewan. Matanya seperti memancar kemarahan. Tubuhnya
mengundang kebencian. Bibirnya bergerak-gerak seperti mahu menyatakan sesuatu.
Mata kami bertentangan. Aku memberi seulas senyuman kepada Wafi tetapi dia
membalasku dengan jelingan tajam. Hatiku terusik dengan sikap Wafi, tetapi aku
bersangka baik. Mungkin Wafi keletihan kerana berpuasa. Ragam anak-anak kecil
memang begitu.
Ketika
taklimat oleh Ustaz Mujib, wajah Wafi dengan penuh kemarahan dan kebencian
bermain-main di ruang ingatanku. Aku tidak terlalu menumpukan kepada Ustaz
Mujib yang masih muda dan berwajah bersih dengan setompok janggut yang dijaga
rapi di dagunya. Seperti ada sesuatu yang menyebabkan aku tertarik untuk
mendekati Wafi.
Sumbangan
Selepas taklimat,
kami menuju ke dewan untuk sesi penyerahan sumbangan dan ramah mesra
bersama-sama anak-anak Darul Hannan. Aku bergegas mencari Wafi. Anak ini masih
berdiri di pintu memerhati kami masuk seorang demi seorang. Shahirah cuba
memesrai Wafi dengan mengusap kepala anak yang berambut pandak. Satu tindak
balas yang tidak disangka, Wafi menepis tangan Shahirah lalu menjerit,
“..ang…jap!” . Wafi berlalu berlalu pergi. Shahirah terpempan. Aku di
sebelahnya tergamam. Ustaz Mujib yang menyaksikan kejadian ini merapati kami.
“Maafkan dia, Puan. Mungkin dia tidak sihat hari ini”. Shahirah cuba
menenangkan diri meskipun aku melihat kolam matanya sudah bergenang.
Mungkin
mengenangkan niat kedatangan kami yang suci tidak disambut mesra. Aku menepuk
bahu Shahirah beberapa kali sambil mengajaknya duduk bersama kelompok anak-anak
Darul Hannan yang lain. Ekor mataku cuba mencari Wafi sambil berharap dia
kembali ke dewan. Sekali lagi, hatiku ditaik-tarik untuk mendekati anak ini.
Seorang
pelatih guru yang kemudian ku ketahui namanya Hafiz, merapati kami selepas
menyaksikan peristiwa yang tidak disangka-sangka itu. “Namanya Wafi. Dia baik,
tetapi memang ada masalah pertuturan”. Bicara Hafiz melegakan kami. Kemudian
dengan tertunduk-tunduk, Hafiz memohon maaf lalu memberi sedikit maklumat
tentang Wafi. “Bila ada tetamu, Wafi akan berkeadaan begitu”.
“Mengapa?”
Hafiz
menggeleng. Zul yang berada di sebelahnya menjawab, “Puas kami tanya tetapi dia
tidak pernah menjawab. Sewaktu kami datang dahulu, dia selalu melarikan diri.
Selepas tiga atau empat sesi kelas tambahan, barulah Wafi mula merapati kami
dan menunjukkan kemesraannya”.
“Bagaimana
dia bermesra dengan orang?” Aku menyiku Mar memandangkan soalannya yang berbaur
lucu itu seperti tidak sesuai diutarakan di sini.
“Maksud
saya, dia merasa seronok nak belajar. Dia sudah boleh membaca dan menulis.
Sedangkan sebelum ini, dia tidak langsung mengenal huruf. Cuma kita harus
banyak bersabar dengan kerenahnya. Apatah lagi dia pelat oleh kerana jarang
bercakap. Tetapi lincah di kelas,” jawab Zul.
Kami
mengangguk. “Apa yang diucapkan tadi?” Aku cuba mengulangi tutur kata Wafi tadi
tetapi gagal menangkap maksudnya. Hafiz menggeleng. “Tidak pasti. Mungkin Puan
boleh bertanya terus kepada Wafi”.
Aku
membeliakkan mata.
“Pergilah.
Wafi tidak merbahaya. Dia tidak melawan. Kalau dia tidak suka, dia akan lari
meninggalkan kita. Itu sahaja”. Hafiz memberikan saranan yang tidak aku sangka.
Majlis
penyampaian sumbangan pun bermula selepas itu. Setiap seorang anak-anak Darul
Hannan seramai 52 orang dari usia seawal empat tahun hingga 17 tahun berbaris
mendapatkan sumbangan dari syarikat yang terisi dalam sebuah beg kertas. Hampir
luluh hatiku melihat seorang anak yang berusia empat tahun tersenyum gembira
melihat bungkusan yang diterima. Usia empat tahun sudah berada di rumah anak
yatim, aku segera mengenangkan anak saudaraku yang berusia empat tahun. Apalah
yang mereka faham ketika itu? Tinggal bersama kawan, tanpa ibu bapa, ah, tidak
dapat aku bayangkan betapa kerdilnya diriku dimata anak-anak ini yang sudah
hidup berdikari dan mandiri sejak kecil.
Setiap
anak-anak ini menerima sumbangan berisi alat tulis, buku sekolah, sebotol air,
biskut dalam pek kecil, wang dalam sampul surat kecil serta beberapa
cenderamata kecil seperti penanda buku dan rantai kunci. Satu beg berbaki di
tanganku. Aku pasti itu untuk Wafi yang tidak kelihatan langsung dalam majlis
ini.
Selepas
upacara penyerahan, kami mengerjakan solat Zuhur bersama anak Darul Hannan. Aku
nampak kelibat Wafi dalam jemaah dan kemudian berlari keluar sebaik sahaja imam
membacakan doa. “Kalau nak cari Wafi, cari di bawah pokok rambutan di tepi
kali”. Hafiz memberitahuku ketika melihatku tercangak-cangak mencari kelibat
Wafi.
“Kali?”
soalku dengan sedikit hairan. “Sungai, parit”, balas Mar sambil tersenyum. Aku
malu-malu kecil lalu memandang Mar dan Shahirah silih berganti. Mereka
mengangguk seperti memberi izin lalu aku membawa beg kertas menuju ke kali.
Benar, Wafi duduk di atas pangkin menghadap ke kali yang tenang dan mengalir
perlahan. Matahari petang yang memancar terik kelihatan memanggang seluruh
kawasan yang dipenuhi pokok buah-buahan. Namun, angin yang bertiup mendatangkan
kenyamanan kepada penghuninya. Ia seolah-olah memberiku semangat untuk
mendepani Wafi.
Wafi
menyedari aku menghampirinya lalu menoleh ke arahku. Aku duduk di sebelahnya
sambil meletakkan beg kertas. Wafi diam tidak berganjak sebaliknya
menggoyang-goyangkan kakinya. Dia seperti endah tidak endah.
“Wafi puasa
tak hari ini?” Wafi diam tidak memberi maklum balas. Dia masih
menggoyang-goyangkan kakinya.
“Ini untuk
Wafi”. Aku mengunjukkan beg kertas kepadanya. Wafi menoleh tanpa menyentuh
langsung. Aku mati akal untuk berbicara.
“Wafi tak
suka kami datang?” Aku menukar topik perbualan. Dia dalam kepala, aku merancang
soalan-soalan lain yang mahu kutanyakan kepadanya jika Wafi masih membisu.
“..ang…jap,”
tiba-tiba Wafi bersuara dengan pelat yang pekat. Aku tiba-tiba seperti tersedar
dari lamunan.
“..ang…jap!…ci!”
Suara pelatnya kedengaran lagi. Aku tidak memahaminya. Suasana menjadi sepi.
Aku gagal memahami Wafi. Segera Wafi bangun, mencapai beg kertas dan
meninggalkan aku.
“..ang…jap!...ci!”
Wafi jalan menghentak-hentak kaki sambil menjerit-jeritkan patah kata yag tidak
aku ketahui maksudnya. Anak yatim ini meninggalkan aku sekali lagi.
Aku kembali
kepada Ustaz Mujib selepas aku pasti airmataku tidak lagi tumpah meskipun
mataku sudah merah. Kami bersiap sedia mahu pulang dan bersalaman dengan
anak-anak Darul Hannan.
“Wafi mahu
tetamu datang selalu. Tiada sesiapa selain kami. Ibu bapa tiada. Kalau ada pun,
mereka terlalu miskin untuk datang ke mari menjenguk anak-anak ini”. Begitu
kata Hafiz sebelum aku masuk ke kereta. Runtuh hatiku seketika mendengarkan
bicara Hafiz. Aku ini sedang duduk di abad ke-21. Mengapa kisah yang selalu aku
dengar semasa kecil masih berulang lagi pada zaman moden ini. Masih ada lagi
anak yatim yang kesepian pada zaman orang sibuk bermain dengan gajet dan
menyebut tentang internet, tentang jalur lebar, tentang globalisasi.
Kesepian
“Saya ingin
menyampaikan rasa hati anak-anak ini. Mereka kesepian dan perlukan perhatian.
Ustaz Mujib sudah mewakafkan dirinya untuk Darul Hannan. Dia sudah melakukan
yang terbaik. Dia tidak boleh dipersalahkan jika anak yatim di bawah jagaannya
bukan yang seperti yang kita sangka. Tanggungkawab itu kepada kita. Kepada
anak-anak yatim.” Hafiz memulakan bicaranya . sesuatu yang tidak aku sangka
keluar dari mulutnya.
“Ini amah
(atau amanah?) besar Allah kepada kita, bukan kepada Ustaz Mujib sahaja. Apa
yang Wafi cuba sampaikan itu adalah datang dari rasa hati anak-anak yatim itu
sendiri,” Zul menambah.
“Apa yang
perlu kami buat?”
“Datanglah
selalu seperti apa yang Wafi maksudkan,” kata Hafiz.
“Itu
bermakna, anak-anak yatim ini bukan perlu diraikan ketika bulan puasa sahaja?”
Aku bertanya. Zul mengangguk. Hafiz pula mengiyakan.
“Mereka
terlalu mewah ketika bulan puasa. Perkara ini sudah banyak pihak yang sentuh.
Sebulan puasa, mereka dibawa ke hotel untuk upacara berbuka, sumbangan datang
melimpah ruah hingga anak-anak kepenatan dan tidak sempat ulang kaji pelajaran
dan bertadarus. Sebaik sahaja takbir hari raya, mereka kembali berdiam di
sini”. Zul menerangkan.
“Memang
malang nasib mereka. Gembira sebulan dan terus dilupakan untuk sebelas bulan
berikutnya. Salah siapa jika anak-anak yatim ini terabai?” Sambung Hafiz.
“Mereka
tidak mahu wang. Makan mewah di hotel, baju baru, alat tulis, buku. Mereka mahu
dilawati setiap hari. Bercakap dengan orang lain. Selain kami. Bayangkan
perasaan mereka ini selama 10-15 tahun duduk di asrama. Kami tahu Ustaz Mujib
tidak akan mengatakannya tetapi biarlah kami memberitahu Puan dan orang-orang
lain yang akan datang ke sini”.
Aku merenung
diri sendiri. Duduk di asrama sekejap pun dah homesick, apatah lagi mereka. Aku menganggukkan kepala beberapa
kali lalu masuk ke dalam kereta. Wafi melambai-lambaikan tangan dari jauh.
Meskipun tadi dia membenci kami, kini dia seperti tidak mahu melepaskan pula.
Anak ini memang aneh.
Aku mengesat
airmata. Mar sudah tersedu-sedu di sebelahku manakala Shahirah cuba menahan
airmatanya dari jatuh. Sepanjang perjalanan ke kota, kami berdiam diri
mengenangkan luahan hati Zul dan Hafiz. Wajah Wafi dengan ayat ‘…ang…jap…’
masih terngiang-ngiang di telingaku. Aku tertidur dalam keresahan dan
menghampiri ibu kota, aku tiba-tiba terjaga. Aku terdengar suara Wafi dengan
fasih bertutur. Ayatnya jelas kedengaran di telingaku.
“Datang
sekejap. Datang sekejap! Benci!”
Wafi
menyedarkanku tentang erti sebuah kehidupan. Anak yatim bukanlah untuk kita
kongsi kesedihannya sekali dalam setahun. Mereka sepi, mereka sunyi. Dunia
dengan kawan-kawan tidak mendatangkan kasih sayang yang memadai.
Selepas
peristiwa itu, aku membentangkan kertas kerja kepada pihak pengurusan syarikat
dengan memberi contoh Wafi. Aku mahu kali ini syarikat lebih bersedia untuk
turun ke Darul Hannan atau mana-mana rumah anak yatim sekurang-kurangnya sekali
sebulan.
“Kita harus
malu pada pelatih guru yang masih belum bekerja tetapi sudah bersedia
menyumbangkan tenaga demi membantu anak yang terbiar. Kita yang punya wang,
kehidupan, kestabilan dan kerjaya namun apa yang telah kita beri kepada mereka
selama ini? Apakah tidak boleh kita sumbangkan sedikit dari hati nurani kita
untuk memberikan kasih sayang kepada mereka?”
Meskipun
awalnya enggan, aku memaksa syarikat bersetuju dengan cadanganku. Malah aku
mengugut meletakkan jawatan jika syarikat berkeras dengan polisi Tanggungjawab
Sosial Korporat-CSR- yang sekadar bertujuan mengurangkan bebanan cukai
korporat.
Selepas
setahun, kehadiran kami mengubah peribadi Wafi menjadi anak yang ceria dan ramah.
Anak-anak Darul Hannan sendiri gembira menerima kasih sayang yang kami berikan
kepada mereka. Dalam tempoh itu, kami bawa mereka melawat ke pusat pelancongan
sekitar ibu kota, menonton persembahan teater, melihat acara sambutan
kemerdekaan, melawat muzium, menziarahi hospital, berkelah di air terjun dan
pantai, juga bersama-sama membersihkan Darul Hannan. Dalam tempoh itu, aku
dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Darul Hannan kian ceria dengan
kehadiran kami saban bulan. Mereka sudah mengerti maksud kasih sayang sekaligus
membuang kebencian dan kesunyian yang menguasai diri mereka ketika itu.
Wafi, anak
yatim di pinggir kali itu menyedarkan kami tentang kehidupan.
Dipetik dan ditulis kembali dari cerpen “Seorang yatim di pinggir kali” oleh
Norziati Mohd Rosman yang telah dimuatkan dalam akhbar sisipan Mingguan
Malaysia iaitu Pancawarna dalam segmen Cerpen pada tanggal 05 Ogos 2012 halaman
20-21.