Monday, March 19, 2012

TULISAN PALING DIBENCI DI FACEBOOK

Oleh: Johardy Ibrahim

Adakah patut, tatkala semua orang berseronok mahu memberi sokongan kepada pasukan Harimau, seorang individu di Facebook muncul dengan pernyataan ‘orang sibuk nak ke stadium sampai lupa solat’. Adakah patut?
Bukan hendak menolak sebarang bentuk tazkirah atau nasihat agama berbentuk agama tetapi adakah patut seseorang itu beranggapan semua yang ke stadium begitu jahil agamanya? Untuk yang tidak pernah menjejak kaki ke stadium, ketahuilah bahawa ada disediakan surau di situ.
Rupa-rupanya sifat penceramah agama di Facebook ini begitu pantas menular. Tidak mengapa. Facebook adalah platform yang baik untuk berdakwah. Maka gunalah secara berhemah. Tetapi yang baru mencuba-cuba bakat jadi penceramah, mohon elakkan guna kaedah sinikal, sindiran atau paksaan. Ia hanya mengundang rasa penolakan dan menyampah menyamai Tahap 9 pada skala Richter.

Kutip
Ada juga yang tidak berimejkan pendakwah, cuma sekadar jadi orang yang memanjang-manjangkannya dengan meletakkan pernyataan itu pada akaun mereka selepas dikutip dari akaun orang lain.
Sebenarnya, kecenderungan di atas adalah salah satu daripada banyak perkara yang semakin tidak disenangi dalam Facebook. Matlamat asalnya sebagai ‘rangkaian sosial’ perlahan-lahan mengecil dan menjadi ‘rangkaian propaganda’ sama ada berbentuk agama, perniagaan atau politik. Tolong beritahu Mark Zuckerberg!
Secara peribadi, majoriti yang menjadi rakan dalam akaun Facebook saya adalah terdiri dari pembaca ruangan ini dan juga sesama penyokong Liverpool FC. Bagi yang sesama menyokong bola sepak, aliran perbualan dan pertukaran idea terus berlangsung dalam suasana akrab.
Yang satu lagi ini ada sedikit warna-warni, sukar diduga cara mereka berkomunikasi. Mereka mula menyiarkan elemen-elemen propaganda seperti disebut di atas. Mujurlah perubahan pada Facebook sekarang menjamin kita tidak perlu melihat kesemuanya.
Yang paling hebat propaganda. Maklumlah ada cara langsung untuk meluahkan rasa meluat pada pihak tertentu terus kepada orang akhbar. Hujah berapi-api. Demi keadilan. Demi kesamarataan. Demi hak asasi manusia. Kebanyakan masa bila terbaca pernyataan sedemikian, saya tertanya sudahkah budak ini mendaftar sebagai pengundi?
Apabila Facebook semakin tersasar daripada matlamat asalnya, makin ramailah yang mengurangkan lawatan. Mereka ini tidak terus menutup akaun. Cuma jengah sekali sehari berbanding sebelum ini minimum dua jam sehari! Ada yang beralih ke Twitter.
Apa pula yang menyebabkan anda bengang terhadap Facebook? Berikut adalah 10 tulisan yang dibenci dalam Facebook, yang mungkin pernah terkena pada anda.
1)      Pengkritik bebas:
Apa sahaja tidak disukainya jadi bahan kritikan di Facebook. Silap ejaan dalam memorandum pejabat pun diberitahu dalam Facebook. Belum lagi soal tak naik gaji atau memohon MC. Ada juga yang siap siarkan gambar sebagai bukti. Persoalannya, dia kritik orang bukan main lagi tapi bila kena kritik balik, melenting dan bidas kata kebebasan bersuara telah disekat. Sila guna kebebasan berfikir sebelum tunaikan kebebasan bersuara.

2)      Kisah percutian keluarga:
Memang sangat kaya dapat bawa satu keluarga bersama ibu ayah dan ibu ayah mertua bercuti ke Bandung, Indonesia. Kita membacanya tidak cemburu, cuma terkilan sebab tak sempat hendak pesan dia beli baju jenama tiruan di situ.

3)      Program makan-minum:
Apa sahaja yang dimakan atau minum, gambarnya disiarkan dalam Facebook. Kalau makanan itu eksotik seperti daging landak, memang menarik perhatian. Setakat nasi kerabu, itu selalu dan tidak perlu.

4)      Penceramah agama:
Mereka ini bukan penceramah bertauliah atau ada rancangan pun hendak memohon lesen berceramah. Mereka petik siaran ceramah orang lain dan disiar semula di akaun mereka sendiri. Seorang mufti baru-baru ini mengeluarkan peringatan supaya berhati-hati dengan hobi petik-memetik surah ayat suci jika tiada bimbingan. Maaf, saya bukan perlekeh sesiapa hendak sampaikan dakwah. Tapi biarlah berhemah supaya tiada yang tersesat akidah.

5)       Pengiklan percuma:
Bermodalkan mutu kerja yang baik, maka dipaparkannya dalam Facebook. Kita pun terkesima. Pada akhiran ayat tertera: Jika anda mahukan khidmat, hubungi dot..dot..dot di talian dot..dot..dot..dengan kadar caj yang mampu dibayar! Gerakan seterusnya, REMOVE dia!

6)      Anak jadi modal cerita:
Ini lazimya dilakukan oleh kaum ibu terutama musim ujian sekolah. Lucu bila sebelum ujian, sang ibu mengaku diri mereka yang terlebih cemas. Bila keputusan diumumkan, mereka akan paparkan perutusan tahniah ditujukan kepada anak mereka, supaya dibaca oleh rakan taulan. Itu baru lulus UPSR. Mujur STPM tiada saya temui sebegini. Mungkin ibu generasi ini tiada akaun Facebook atau pun rasa segan hendak bermegah anak mereka bakal memasuki universiti berbanding UPSR.

7)      Perutusan cinta:
Lazimya diamalkan oleh golongan remaja dan pasca remaja yang asyik dilamun gelora asmara. Bezanya, mereka guna istilah bukan konvensional. “PM me. SD” (private message me. Sweet Dreams atau Mesej Peribadi kepada saya. Mimpikan yang Indah!) Pasangan ini akan berbalas-balas ucapan. Kita yang tiada kaitan ini bukan dengki, tapi geli sebab mereka hendak canang cinta mereka  hingga kepada Mark Zuckerberg.

8)      Pemaparan ego:
Secara disengajakan atau tidak, golongan ini tidak kisah. “Suamiku bertanya ke mana cincin dia beli. I kata cincin itu dah diberi pada anak. Jadi suami kena belikan yang baru pada ku”. Bunyi memang romantik tapi kasihan kawan lain yang membaca sebab suami mereka hendak bawa makan ke KFC pun kena buat catuan, apalagi dua tiga bentuk cincin.

9)      Psiko badan:
Sering merungut mengenai badannya yang gemuk tapi mencemuh orang yang kurus sebagai penagih dadah. Sebenarnya, dia tidak ada masalah berat badan, cuma masalah kacau jiwa dan perasaan.

10)  Umumkan penamatan akaun Facebook:
Isytihar ke seluruh alam betapa dia tidak lagi seronok bersosial di Facebook. Bahawa Facebook ini membuang masa sahaja dan menjadi medan fitnah. Anda buka Facebook pagi esok, pernyataan pertama anda dapati di situ masih daripada dia!





Mingguan Malaysia keluaran 18 Mac 2012, bahagian Rencana, halaman 9.

No comments:

Post a Comment